Thursday, October 1, 2009

KONTRAK SOSIAL

Kontrak Sosial

Kekeliruan Mengenai Kontrak Sosial
Perdebatan mengenai kontrak sosial hangat dibincangkan di media tempatan apabila akhbar Mingguan Malaysia pada 14 Ogos 2005 menyiarkan laporan yang memetik ucapan Datuk Seri Lim Keng Yaik yang menggesa parti-parti politik di negara ini melupakan formula kontrak sosial antara kaum kerana ia didakwa membuatkan masyarakat Cina dan India merasa ‘kecil hati'. Berikutan itu, Khairy Jamaluddin membidas kenyataan tersebut dengan mendakwa ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Reaksi serupa daripada kalangan beberapa pemimpin UMNO turut disiarkan di media.
Datuk Seri Lim Keng Yaik kemudian menafikan beliau membuat kenyataan tersebut sambil mendakwa bahawa kata-kata beliau telah disalah tafsir. Bagaimanapun beliau telah memohon maaf secara terbuka dan menjelaskan bahawa beliau tidak pernah berhasrat mempersoalkan atau menukar formula kontrak sosial antara kaum yang dipersetujui semasa Negara mencapai kemerdekaan. Sehubungan dengan itu juga. Kabinet pada 17 Ogos 2005 mengarahkan supaya semua perdebatan mengenai isu tersebut dihentikan.

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Kontrak Sosial?
Kontrak sosial adalah persetujuan yang dicapai sebelum merdeka di kalangan para pemimpin Melayu, Cina dan India dan parti-parti yang mereka wakili, UMNO, MCA dan MIC. Bagaimanapun, kontrak sosial harus dianggap sebagai satu persetujuan di kalangan masyarakat berbilang kaum, bukan hanya pemimpin atau kumpulan elit tertentu. Permuafakatan itu mendapat sokongan rakyat sebagaimana yang terbukti melalui kemenangan Perikatan dalam pilihan raya 1955. Rakyat perlu memahami fakta sejarah bahawa kontrak sosial dicapai melalui proses muafakat dan musyawarah.

Mengapa Isu Kontrak Sosial Timbul?
Isu ini timbul mungkin kerana kontrak sosial ini telah dibentangkan kepada masyarakat sebagai satu persetujuan antara elit pada masa tertentu, dalam keadaan tertentu. Ini menyebabkan generasi baru menganggapnya sebagai tidak lagi relevan. Sebahagian masyarakat bukan Melayu juga menganggapnya kontrak sosial sebagai sesuatu yang dikaitkan dengan kewarganegaraan. Ia suatu pemberian yang diberikan kepada mereka yang pada masa itu yang merupakan imigran atau keturunan imigran.Oleh sebab itu generasi bukan Melayu sekarang menganggapnya sebagai sesuatu yang sudah berlalu. Mereka juga tahu bahawa hak istimewa masyarakat bumiputera adalah sebahagian daripada kontrak sosial. Oleh kerana bukan Melayu diberikan kewarganegaraan atas syarat-syarat tertentu, masyarakat bumiputera pula diberikan perlindungan melalui fasal-fasal dalam Perlembagaan tentang hak istimewa. Kepada mereka kompromi ini terikat kepada masa tertentu, jadi mereka tidak nampak relevannya sekarang.

Adakah Kontrak Sosial Terkandung Dalam Perlembagaan?
Kontrak sosial bukan istilah yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 tetapi permuafakatan yang mewakili semangat Perlembagaan. Dengan adanya kontrak sosial ketika proses ke arah mencapai kemerdekaan, usaha telah dapat dilakukan untuk menggubal Perlembagaan. Ia merupakan muafakat antara kaum yang mewarnai Perlembagaan, persepakatan yang diterjemahkan ke dalam Perlembagaan. Walaupun istilah kontrak sosial tidak ada dalam Perlembagaan tetapi semangatnya ada pada ciri-ciri perlembagaan itu.

Apakah Perkara Penting Perlu Difahami Dalam Kontrak Sosial?
Rakyat Malaysia perlu memahami kontak sosial dengan jelas berdasarkan kepada fakta sejarah. Kontrak sosial harus difahami sekurang-kurangnya tentang hubung kaitnya kepada empat perkara utama iaitu - perlembagaan, kemerdekaan, hubungan kaum dan sistem pemerintahan negara. Tanpa kontrak sosial mungkin kita tidak dapat mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 kerana pihak British ketika itu menjadikan permuafakatan itu sebagai prasyarat. Kontrak sosial adalah anak kunci kepada hubungan kaum sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. Kontrak sosial juga asas kepada sistem pemerintahan yang menjadikan kita negara demokrasi berparlimen raja berperlembagaan dengan konsep negeri dan persekutuan.

Apakah Hubung Kait Kontrak Sosial Dengan Negara dan Bangsa Malaysia?
Perlembagaan Persekutuan diwujudkan hasil daripada kontrak sosial yang dilahirkan daripada permuafakatan pelbagai kaum di negara ini. Perlembagaan itulah juga yang mentakrifkan negara kita serta menentukan sifat bangsa dan negara Malaysia.Malaysia adalah Negara berbilang kaum yang wujud daripada konsep Malay polity atau sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 memberikan kewarganegaraan terbuka kepada bukan Melayu, sebahagiannya imigran dan diterima secara automatis sebagai warga Negara dan diberikan jus soli.Inilah antara sifat negara dan bangsa Malaysia yang harus difahami - berbilang kaum tetapi berakar umbi dalam sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan juga mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi dan sistem pemerintahan beraja.

Sumber Maklumat:- Bahagian Pengurusan Maklumat Strategik, Kementerian Penerangan Malaysia

KONTRAK SOSIAL MALAYSIA
1. Sebelum adanya Malaya dan Malaysia, semenanjung ini dikenali sebagai Tanah Melayu.
2. Hanya berkata ini akan sebabkan kita dituduh bersifat perkauman.
3. Untuk terangkan berkenaan asal-usul kontrak sosial Malaysia saya terpaksa imbas semula sejarah.
4. Melalui perjanjian-perjanjian yang ditandatangani Raja-Raja Melayu Semenanjung, British telah mendapat hak untuk menakluk Negeri-negeri Melayu. Perjanjian-perjanjian ini mengakui dan mengesahkan Negeri-negeri ini sebagai Negeri-negeri Melayu. Tidak ada sesiapa pun yang membantah. Orang Asli juga menerima keadaan ini dengan penerimaan oleh mereka pemerintahan Raja-Raja Melayu.
5. Pada mulanya penduduk yang tinggal di Negeri-negeri ini dibahagi kepada orang Melayu dan Orang Asli yang merupakan rakyat Raja-raja Melayu dan tetamu asing yang tidak dianggap sebagai rakyat kepada Raja-raja Melayu. Tidak ada kewarganegaraan mahupun dokumen berkenaan taraf kerakyatan sepertimana di kebanyakan negara-negara lain.
6. Tetamu asing ini hidup mewah di Negeri-negeri Melayu di bawah pentadbiran British dan di jajahan British di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Orang Melayu yang menjadi rakyat kepada Raja-raja Melayu dan Raja-raja Melayu sendiri tidak sikitpun merasa tergugat dengan bilangan besar orang bukan Melayu dan perbezaan jurang kekayaan dan kemajuan di antara tetamu asing ini dan rakyat Raja-Raja Melayu. Mereka tidak terfikir yang orang asing yang menetap di negara ini akan menuntut hak kewarganegaraan.
7. Apabila Jepun menakluk Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat, orang Cina merasa tidak selamat kerana Jepun merupakan musuh tradisi mereka.
8. Ramai orang Cina telah menubuhkan dan menganggotai angkatan gerila dan lari ke dalam hutan. Apabila Jepun serah diri, gerila-gerila Cina ini keluar dan merampas balai-balai polis di kawasan pedalaman dan isytihar yang mereka adalah pemerintah negara ini. Mereka menangkap ramai orang, Cina dan Melayu dan beberapa daripada mereka ini dibunuh.
9. Orang Melayu di kampung-kampung membalas dengan membunuh orang Cina di kawasan luar bandar. Ketegangan timbul dan pertempuran antara Cina dan Melayu dielak hanya dengan kedatangan angkatan tentera British. Tetapi perasaan marah dan benci antara kedua-dua kaum ini tetap tinggi.
10. Di dalam keadaan tegang ini British mencadang penubuhan Malayan Union yang akan memberi "tetamu-tetamu" ini hak kerakyatan yang tidak membezakan mereka daripada orang Melayu.
11. Orang Melayu menolak Malayan Union dan cadangan hak kerakyatan ini. Mereka paksa British untuk kembali keapda keadaan asal atau status quo ante di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) yang baru.
12. Hanya orang Cina yang menjadi rakyat Negeri-negeri Selat layak untuk mendapat kerakyatan di dalam Persekutuan yang baru ini. Sudah tentu warganegara keturunan Melayu jauh lebih ramai daripada rakyat Malaya yang berketurunan Cina.
13. Pemimpin-pemimpin Cina merayu kepada British, yang kemudiannya menekan Presiden UMNO, Dato Onn Jaafar supaya mencadangkan agar UMNO dibuka kepada semua kaum. Cadangan ini ditolak lain-lain pemimpin UMNO dan Dato Onn terpaksa melepaskan jawatan.
14. British terus beri tekanan kepada orang Melayu untuk bersikap lebih terbuka berkenaan soal kerakyatan bagi orang bukan Melayu.
15. Presiden UMNO Tunku Abdul Rahman memutuskan untuk menubuhkan pakatan dengan MCA (Malaysian Chinese Association) dan MIC (Malaysian Indian Congress). Dalam pilihanraya Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Assembly) 1955, oleh kerana kurangnya kawasan majoriti penduduk Cina dan India, MCA dan MIC terpaksa letak calon mereka di kawasan yang mempunyai majoriti Melayu selepas UMNO bersetuju untuk tidak bertanding di kawasan-kawasan ini dan sebaliknya menyokong calon Cina MCA dan calon India MIC.
16. Begitu sokongan orang Melayu terhadap calon Perikatan MCA dan MIC hinggakan mereka menang walaupun menentang calon Melayu daripada PAS. Calon MCA dan MIC kesemuanya menang. Hanya UMNO kalah satu kerusi kepada PAS.
17. Tunku sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu kemudian memutus untuk menuntut kemerdekaan. British terus berkeras menuntut hak kerakyatan bagi orang Cina dan India sebagai syarat memberi kemerdekaan.
18. Untuk mengatasi halangan British terhadap kemerdekaan dan untuk memenangi sokongan orang Cina dan India Tunku memutuskan untuk beri satu juta kerakyatan kepada kedua-dua komuniti ini berdasarkan hanya kepada permastautin. Salah seorang rakyat baru yang menonjol ialah (Tun) Leong Yew Koh, bekas general di dalam angkatan tentera nasional China yang kemudiannya dilantik Gabenor Melaka.
19. Di peringkat ini pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti yang berdasarkan kepada kaum yang telah mendirikan Kerajaan pemerintahan sendiri di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) British telah berbincang dan mencapai persetujuan berkenaan syarat perhubungan antara ketiga-tiga kaum di dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.
20. Ianya merupakan agihan yang sama rata. Sebagai balasan untuk satu juta kerakyatan bukan Melayu, orang bukan Melayu mesti mengakui kedudukan istimewa orang Melayu sebagai Bumiputera. Beberapa peruntukan undang-undang seperti kedudukan Islam sebagai agama rasmi, pengekalan tanah rizab Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu dan adat istiadat Melayu dan pengagihan jawatan dalam Kerajaan juga termasuk di dalam persefahaman ini.
21. Dalam soal Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu telah dipersetujui sebagai Bahasa Kebangsaan. Bahasa Inggeris pula sebagai bahasa ke-dua. Kaum Cina dan India boleh terus gunakan bahasa mereka tetapi bukanlah sebagai bahasa rasmi untuk berkomunikasi.
22. Sekolah rendah Cina dan Tamil juga boleh menggunakan bahasa masing-masing sebagai bahasa pengajar. Bahasa-bahasa ini juga boleh digunakan di sekolah menengah, tetapi hanya di sekolah menengah swasta.
23. Di pihak mereka pemimpin-pemimpin Cina dan India yang mewakili parti mereka menuntut agar kerakyatan dijadikan hak mereka yang tidak boleh ditarik balik, mereka dibenar kekalkan bahasa, agama dan budaya mereka dan sebagai rakyat mereka diberikan hak politik sepertimana yang diberikan kepada semua rakyat.
24. Kebanyakan persetujuan dan persefahaman ini terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merdeka. Bagi setiap yang diperuntukkan kepada orang Melayu, akan sentiasa terdapat peruntukan bagi yang bukan Melayu. Tidak ramai yang sebut akan hakikat ini. Yang menarik perhatian ramai dan yang menjadi tajuk perbalahan ialah apa yang diperuntukkan kepada orang Melayu dan lain-lain kaum Bumiputera sahaja.
25. Demikian walaupun Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan, bahasa Cina dan Tamil tetap bebas digunakan di sekolah Cina dan Tamil. Peruntukan ini tidak terdapat di mana-mana negara lain. Bahkan di negara-negara yang liberal sekalipun tidak terdapat jaminan seperti ini yang termaktub di dalam Perlembagaan.
26. Bahasa Kebangsaan ini haruslah dipelajari semua orang agar setiap warganegara Malaya dapat berkomunikasi antara satu sama lain di mana-mana sahaja.
27. Difahamkan bahasa Cina yang di maksudkan di dalam persefahaman tersebut adalah dialek-dialek Cina yang ditutur di Malaysia dan bukannya bahasa kebangsaan negeri China. Demikian bagi kaum India Malaya bahasa Tamil digunakan dan bukannya Hindi atau Urdu atau apa-apa bahasa pun yang menjadi bahasa Kebangsaan di India. Tetapi para pendidik aliran Cina kemudiannya mengguna Bahasa Cina yang menjadi bahasa Kebangsaan negara China iaitu Mandarin.
28. Islam adalah agama rasmi tetapi agama-agama lain boleh dipraktik penganut masing-masing tanpa apa-apa halangan. Sebagai agama rasmi Islam mendapat bantuan Kerajaan. Tiada tersebut tentang bantuan bagi mana-mana agama lain. Bukan Melayu tidak menekankan tentang ini dan Perlembagaan Persekutuan tidak pun sebut tentang bantuan Kerajaan terhadap agama lain. Namun sokongan dan bantuan tetap diberikan.
29. Kuota ditetapkan bagi kakitangan Kerajaan (Malayan Civil Service) dimana orang Melayu akan mendapat empat tempat bagi setiap satu yang diberikan kepada orang Cina dan India. Walaubagaimanapun, jawatan profesional diiktiraf terbuka bagi semua kaum kerana dianggap tidak mungkin terdapat cukup bilangan orang Melayu untuk mengisi jawatan-jawatan tersebut.
30. Hasilnya pada awal kemerdekaan terdapat lebih ramai kaum bukan Melayu daripada Melayu yang mengisi jawatan dalam Divisyen Satu.
31. Yang Di-Pertuan Agong atau Raja-raja Melayu akan menentukan kuota biasiswa dan lesen bagi orang Melayu. Tetapi tiada sesiapa yang akan dirampas mana-mana permit atau lesen hanya untuk diberikan kepada kaum Bumiputera.
32. Kedudukan Raja-raja Melayu termaktub dan tidak boleh dipersoalkan. Seorang Yang Di-Pertuan Agong akan dipilih daripada sembilan Raja-raja Melayu dan akan berkhidmat selama lima tahun.
33. Raja-raja akan menjadi Raja berperlembagaan. Kuasa eksekutif akan dilaksanakan oleh Menteri Besar, Ketua Menteri dan Perdana Menteri yang dipilih dan dibantu ahli majlis atau Kabinet. Amalan British dijadikan contoh.
34. Persetujuan yang paling penting ialah pelaksanaan Demokrasi Berparlimen digabungkan dengan Raja Berperlembagaan, sekali lagi seperti yang diamalkan di United Kingdom. Harus diingat pihak British telah mengenakan Kerajaan Kolonial kuku besi ke atas Negeri-negeri Melayu dengan kuasa diletak pada Pejabat Kolonial di London.
35. Sebelum ini Negeri-negeri Melayu diperintah secara feudal di mana Raja-raja Melayu mempunyai kuasa mutlak. Hanya golongan bangsawan yang memain peranan dalam politik negeri. Rakyat Melayu tidak langsung ada apa-apa hak politik. Sudah tentu tetamu juga tidak mempunyai suara dalam hal-hal berkenaan politik. Warganegara British keturunan Cina dan India juga tidak mempunyai apa-apa suara walaupun mereka boleh dilantik sebagai Ahli Kehormat Majlis Kerajaan Tempatan atau Perundangan.
36. Keputusan untuk melaksana sistem Kerajaan berlandaskan demokrasi merupakan satu langkah radikal di dalam pentadbiran Kerajaan di Persekutuan Tanah Melayu dan Negeri-negeri Melayu. Ini dipersetujui pemimpin ketiga-tiga kaum terbesar yang diwakili parti-parti politik UMNO, MCA dan MIC. Tidak syak lagi yang parti-parti ini mewakili sebahagian besar daripada ketiga-tiga masyarakat di Malaya. Pihak Komunis dan yang berhaluan kiri lain tidak menyatakan persetujuan mereka terhadap persefahaman ini.
37. Suruhanjaya Reid diberi penerangan tentang perjanjian dan persefahaman ini agar ianya akan dimasukkan kedalam Perlembagaan yang akan digubal. Ketiga-tiga parti meluluskan Perlembagaan yang digubal setelah beberapa pindaan dilakukan. Kesannya Perlembagaan ini menjadi kontrak yang mengikat ketiga-tiga kaum di Persekutuan Tanah Melayu menjelang merdeka pada tahun 1957.
38. Apabila Sabah dan Sarawak menyertai Negeri-negeri Semenanjung untuk membentuk Malaysia kontrak sosial ini di panjangkan kepada kedua-dua negeri ini. Orang Bumiputera Sabah dan Sarawak di beri taraf yang sama dengan orang Melayu. Pada masa ini juga perkataan Bumiputera diperkenalkan untuk membezakan orang Melayu dan orang Bumiputera Sabah, Sarawak daripada yang berketurunan pendatang. Kerana Bahasa Melayu dugunakan secara meluas di negeri-negeri Borneo tidak ada kesulitan bagi penerimaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Walaupun kaum Bumiputera di kedua-dua negeri ini bukan semuanya orang Islam ini tidak memerlukan pindaan kepada Perlembagaan apabila perkataan Bumiputera diterima. Tetapi definisi rasmi bagi orang Melayu tetap tidak berubah.
39. Oleh itu pembentukan kontrak sosial dimaktubkan dalam pertama, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia. Untuk mengatakan yang ianya tidak wujud samalah dengan menidakkan kandungan Perlembagaan yang diasaskan kepada penerimaan oleh pemimpin-pemimpin ketiga-tiga kaum terhadap kontrak sosial yang asal.
40. Kesemua tindakan susulan oleh Kerajaan adalah hasil daripada kontrak sosial ini. Hakikatnya pencetus kontrak sosial ini dan pewaris-pewaris mereka yang diiktiraf rakyat di setiap Pilihanraya Umum menunjukkan kesediaan rakyat untuk menghormati kontrak sosial ini.
41. Menidakkan kewujudan kontrak sosial ini ialah seperti berkata yang Malaysia ini wujud di dalam suasana kekosongan, tidak ada Perlembagaan dan undang-undang yang berlandaskan kontrak ini.
42. Pelaksanaan kontrak sosial ini memerlukan pemahaman semangatnya yang mendalam. Kontrak sosial ini bertujuan mewujudkan satu negara berbilang kaum yang stabil dan harmoni. Apa jua faktor yang akan akibatkan ketidakstabilan dan menghasilkan ketegangan di antara kaum haruslah dianggap tidak sesuai dengan semangat kontrak sosial ini.
43. Selama 50 tahun tidak ada sesiapa yang menyoal kontrak sosial ini. Malahan hari ini pun majoriti kaum Cina dan India dan Bumiputera Melayu dan kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak menerima kontrak sosial ini.

Sumber: Laman Web Tun Mahathir

Friday, September 4, 2009

Pantun Melayu
Penghasilan pantun Melayu sering menggunakan beberapa konsep iaitu:
  1. Konsep terhadap dunia seperti alam nyata, alam luas, ruang alam, hutan, laut, sungai, tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung-ganang dan lain-lain.
  2. Konsep terhadap alam ghaib seperti alam selepas mati, alam akhirat, makhluk-makhluk yang wujud di alam ghaib dan juga tentang ketuhanan.
  3. Konsep terhadap sesama manusia seperti konsep 'kita' terhadap 'mereka' iaitu orang lain termasuk juga kehidupan manusia terhadap adat dan kehidupan sosial.

Dalam pantun Melayu tradisional, falsafah atau pemikiran orang Melayu diungkap dalam bentuk pantun iaitu dari segi kosa kata, frasa dan ayat yang digunakan selain gaya pengungkapannya sama ada secara lisan atau tulisan.

Pantun Melayu tradisional juga menyatakan perasaan dan pandangan serta buah fikiran yang mengandung nilai, etika dan keunggulan masyarakat Melayu itu sendiri.

Terdapat pelbagai jenis pantun yang berjaya diungkap oleh masyarakat Melayu pada masa dahulu. Antaranya:

  • Pantun nasib

Orang Kedah pergi ke Daik,

Berjalan malam terlanggar tunggul;

Kalau sudah benih yang baik;

Padi segenggam jadi sepikul.

  • Pantun resam hidup

Rumah buruk serambi tak baik,

Serai seulas di dalam dulang;

Rupa buruk budi tak baik,

Apa guna kepada orang.

  • Pantun sindiran

Bunga pudak di tepi telaga,

Sunting budak di atas panggung;

Sungguh berbedak berlian juga,

Umpama katak di bawah tempurung.

Thursday, September 3, 2009

JENIS-JENIS PAPAN TULIS

Pengenalan

Papan unjuran adalah papan pengajaran yang digunakan secara langsung oleh guru untuk menyampaikan pengajaran kepada murid. Biasanya papan unjuran terdapat dalam setiap bilik darjah secara kekal atau mudah alih.

Terdapat beberapa jenis papan unjuran:
1. Papan Tulis
2. Papan putih
3. Papan Magnetik
4. Papan Flip
5. Papan Pameran / Papan Kenyataan
6. Papan Flanel
7. Papan Gulung
8. Papan Slip
9. papan Elektronik

1. Papan Tulis

Para guru telah mengiktiraf papan kapur sebagai Alat Bantu Mengajar di dalam bilik darjah. Papan Tulis juga di kenali sebagai Papan Kapur, Papan Hitam, Papan Hijau serta digunakan sejak lama dahulu.

• Penggunaannya mudah kerana ia sentiasa berada dalam bilik darjah.
• Penggunaannya tidak memerlukan bakat atau peralatan istimewa.
• Perubahan atau tambahan isi boleh dilakukan dengan cepat dan mudah.
• Mudah alih serta senang digunakan untuk pelbagai tujuan sampingan.

2. Papan Putih

Papan Putih adalah satu inovasi baru dalam teknologi papan tulis. Permukaan sekeping papan dilapik dengan satu lapisan enamel putih yang menjadi permukaan untuk ditulis dengan menggunakan pena berisi dakwat khas yang mudah dipadamkan.
• Tidak ada habuk
• Mudah alih serta boleh dibuat dalam pelbagai saiz.
• Mudah dicuci dengan menggunakan pemadam berkain lembut.
• Boleh dihasilkan sendiri.

3. Papan Magnetik

Papan Magnetik diperbuat daripada logam. Keping-keping magnet kecil akan melekat di atas permukaan tersebut untuk melekatkan kertas atau kad visual di atas papan tersebut.
Kelebihan :
• Magnet dapat melekat bahan visual yang digunakan dengan baik dan mudah
• Kesan tarikan magnet tidak dipengaruhi oleh perubahan cuaca seperti angin dan hujan. Oleh yang demikian papan magnet boleh digunakan dalam banyak keadaan, tempat dan masa.
• Boleh digunakan untuk menunjukkan kesan-kesan perubahan atau pergerakan dengan mudah dan cepat, seperti mengaluh visual ke tempat baru atau dapat tindan tindihkan visual-visual itu.

4. Papan Flip

Papan Flip boleh diperbuat daripada papan lapis dengan ukuran sederhana dan perlu dibuat kaki untuk berdiri secara sedikit condong ke belakang. Papan flip boleh dialihkan ke pelbagai sudut sama ada untuk pembelajaran dan pameran.
• Boleh mempamerkan berbagai poster atau visual yang telah dijilid.
• Berbentuk mudah alih dan sangat sesuai untuk belajar secara berkumpulan.
• Dapat menunjukkan carta jenis bersiri dengan mudah.

5. Papan Pameran / Papan Kenyataan

Papan Pameran atau Papan Kenyataan secara umumnya diperbuat daripada papan lapis atau papan lembut untuk menampal maklumat-maklumat serta untuk mempamerkan hasil kerja murid seperti lukisan, karangan dan lain-lain. Papan kenyataan boleh dibuat secara melekat terus pada bahagian dinding atau dibuat secara mudah alih serta berkaki.
• Sangat mudah untuk menyebarkan maklumat
• Senang ditampal maklumat
• Tidak menggunakan ruang yang banyak.
• Sangat mudah untuk mengantikan maklumat baru.

6. Papan Flanel

Papan flannel merupakan satu bentuk papan pengajaran yang agak popular dalam kalangan guru sekolah rendah. Pada dasarnya, papan ini diperbuat daripada satu permukaan kain flannel, iaitu sebarang kain yang mempunyai permukaan berbulu kasar. Permukaan berbulu ini mempunyai satu keistimewaan, iaitu dua keping kain flannel boleh bercantum apabila dilekapkan, sifat istimewa ini dipergunakan untuk papan flannel. Kad-kad visual disediakan, dan secebis kain flannel ataupun kepingan bahan-bahan lain yang berbulu kasar digamkan pada bahagian belakang kad-kad tadi. Sekarang kad-kad visual itu bolehlah dilekapkan ke atas permukaan papan flannel dengan mudah.
• Cerita atau tema dapat dipersembahkan sedikit demi sedikit.
• Sesuai untuk berbagai-bagai jenis tajuk dan subjek.
• Mudah disediakan serta banyak jenis bahan boleh digunakan
• Perubahan atau perkembangan tajuk boleh dilakukan dengan serta merta melalui kaedah tindan tindih visual ataupun perubahan kedudukan visual tersebut.
• Menggalakkan penglibatan murid sepenuhnya dalam tajuk yang disampaikan seperti aktiviti mencantum ayat, memadankan gambar, sesi bercerita dan sebagainya.
• Senang disimpan, dibawa atau digunakan.

7. Papan Gulung

Papan gulung adalah papan tulis yang dapat digulungkan untuk dibawa atau disimpan dan papan tersebut boleh dibentangkan semasa digunakan dalam bilik darjah. Papan gulung boleh diperbuat daripada kepingan getah atau kertas rexine atau kain kanvas supaya papan ini boleh digulung.Papan gulung mempunyai satu keistimewaan, iaitu bahan-bahan pengajaran guru boleh disediakan dengan terperinci terlebih dahulu. Apabila sampai masanya guru hanya mempamerkan bahan-bahan tersebut kepada murid. Ini sangat berfaedah terutama kepada guru atau calon guru yang kurang mahir dalam bidang atau prinsip-prinsip tertentu, atau bahan tersebut memerlukan masa yang lama untuk disediakan.
• Mudah dibuat
• Mudah dibawa, digunakan atau disimpan
• Bahan-bahan pengajaran yang sukar boleh disediakan terlebih awal dengan baik dan sempurna.
• Sesuai untuk semua mata pelajaran dan boleh digunakan di dalam atau dil uar bilik darjah.

8. Papan Slip

Papan pengajaran jenis ini mempunyai kocek-kocek supaya kad visual atau kad huruf boleh diselitkan. Kocek-kocek itu mungkin diperbuat daripada jalur-jalur plastik jernih atau bahan-bahan lain.Penggunaan papan selit hampir sama dengan papan flannel.
• Senang dibawa serta dapat digunakan di dalam atau di luar bilik darjah
• Visualnya senang, cepat serta mudah dibuat.
• Menggalakkan penglibatan murid dalam kelas.

Sumber: Sharifah Alwiyah Alsagoff
KELEBIHAN BULAN RAMADHAN


1. Daripada Anas r.a katanya : Bersabda Nabi saw :

“ Tiada daripada seorang hamba apabila melihat ia sehari bulan Ramadhan lantas dia memuji Allah ( Alhamdulillah ) ( kerana kedatangan bulan rahmat dengan kelebihan dan keistimewaannya ). Kemudian dibacanya Al-Fatihah tujuh kali, melainkan diafiatkan Allah daripada sakit matanya pada bulan itu .”

2. Kelebihan bulan Ramadhan dan keagungannya dengan adanya Malam Lailatulqadar yang dirahsiakan, sehingga mendapat keampunan dan pahala serta rahmat dan darjat tertinggi bagi orang yang berjaga mendapatkan malam Lailatulqadar dengan dipenuhi amal ibadat dan bertaqwa kepada Allah di samping sembahyangnya yang sunat, istighfar, tasbih dan berzikir.

3. Berkata Saiyidina Ali Karromallahuwajhah, Nabi saw telah bersabda :

“ Apabila engkau melihat seharibulan maka bacalah olehmu ‘Allahu Akbar’ 3 kali , kemudian bacalah ‘ Segala kepujian bagi Allah yang telah menjadikan engkau dan telah menentukan bagi engkau pangkat-pangkat ( darjat ) dan telah menjadikan engkau tanda ( kekuasanNya ) bagi sekalian alam ’.

Allah bermegah akan hambaNya di hadapan Malaikat melalui firmanNya yang bermaksud : “ Hai Malaikat ! Saksikanlah kamu bahawa Aku telah memerdekakannya ( hamba ) daripada api neraka .”

Atau dibacakan ayat yang bermaksud : Ya Allah! Zahirkanlah Ramadhan atas kami dengan keamanan dan keimanan dan dengan keselamatan dan keislaman, Tuhanku dan Tuhan engkau Allah .

4. Bersabda Nabi s.a.w :

“ Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadhan . Pada awal bulan Ramadhan bertiup angin di bawah Arasy dan bergeraklah daun kayu dengan longlai di bawah syurga, terdengarlah desiran daun kayu, hembusan bayu syurga yang teramat indahnya, seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya hingga berdirilah di atas puncak mercu syurga itu, lantas bersuaralah bidadari : Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah ? Lalu bidadari lain pula bertanya : Apakah nama malam ini ? Jawab Malik Ridhwan , hai bidadari yang cantik manis, inilah malam Ramadhan .

Lalu Allah berfirman : Hai Ridhwan, bukakanlah pintu syurga Babuljannan untuk orang-orang yang berpuasa daripada umat Nabi Muhammad saw . Hai Malik Zabaniah , tutuplah pintu neraka al-Jahim daripada umat Nabi Muhammad saw . Hai Jibril belenggukanlah syaitan, lontarkannya ke dalam lautan supaya tidak membinasakan umat Muhammad saw akan puasanya . Maka Firman Allah pada tiap-tiap malam Ramadhan tiga kali : Adakah orang yang meminta ampun ? Akan Aku ampunkannya . ( Al-Hadith )

5. Pada Malam Lailatulqadar, Allah Taala menyuruh Jibril as turun ke bumi . Lalu turunlah Jibril ke dalam perhimpunan Malaikat ke bumi bersama bendera hijau lalu dipacakkan di atas Ka’abah. Sayapnya 600, setengahnya tiada dibuka kedua-duanya, melainkan pada malam Lailatulqadar baharudibukakan kedua-duanya sehingga sampai dari timu ke barat ( masyriq ke maghrib ) untuk menyelamatkan umat Muhammad saw . Ia memberi salam kepada tiap orang yang berjaga pada malam Lailatulqadar beribadat kerana mencari keredhaan Allah, orang yang sembahyang dan berzikir dan berjabat tangan sesame orang mukmin dan mengucap amin doa orang-orang mukmin hinga terbit fajar subah .

Para Malaikat berkata kepada Jibril, apakah Allah menunaikan hajat orang mukmin dari umat Nabi Muhammad saw pada bulan Ramadhan ini ? Jawab Jibril : Bahawasanya Allah menilik kepada umat Nabi Muhammad saw yang berpuasa dan beribadat kepadaNya dan dimaafkan mereka, diampunkan dosa-dosa mereka, melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya, iaitu orang yang kekal minum arak, orang yang derhakakan ibu bapanya, orang yang memutuskan silaturahim dan orang yang tidak bercakap dengan saudaranya lebih daripada 3 hari .

6. Apabila pada malam akhir Ramadhan dinamakan malam persalinan. Pada pagi hari raya Aidilfitri didatangkan Allah, Malaikat kepada tiap-tiap negeri, turunlah mereka ke bumi, berdiri pada permukaan jalan menyeru dengan suara yang kuat, semua mendengarnya kecuali jin dan manusia. Mereka berkata : Hai umat Muhammad saw ! Keluarlah kamu menghadap Tuhan yang amat Mulia ( sembahyang raya di pagi raya ) yang memberi pemberian yang berpanjangan dan mengampun akan dosa-dosa yang besar .

Apabila umat Muhammad saw tiba ke tempat sembahyang, Allah berfirman kepada Malaikat : Hai MalaikatKu, apakah balasannya orang yang mengambil upah apabila selesai kerjanya ? Jawab Malaikat : Hai Tuhan kami, sempurnakanlah upahnya . Firman Allah : Bahawa Aku saksikan kamu hai MalaikatKu, telah aku jadikan pahala dari puasa mereka pada bulan Ramadhan dan mereka mendirikan sembahyang, ialah keredhaanKu dan keampunanKu, tiada memohon kepadaKu hari ini akan sesuatu bagi agamamu dan duniamu, melainkan Aku kurniakan kepadamu .

7. Sabda Nabi saw :

“ Diberikan kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat-umat dahulu sebelumnya .”

· Bau mulutnya orang puasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah .
· Segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya .
· Diampunkan dosa-dosa mereka pada malam Lailatulqadar .
· Amalan yang dilakukan pada bulan Ramadhan digandakan kepada sepuluh hingga tujuh ratus ganda, melainkan puasa maka ianya bagiKu, Aku balas kepadanya yang berpuasa menahan syahwatnya, makan minumnya kerana Aku .
· Dan mereka dikurniakan nikmat, kepada mereka keseronokan ketika berbuka dan ketika menemui Tuhan di akhirat .


( Al-Hadith )

8. Sabda Nabi saw :

“ Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardu dan amal fardu diberi balasan 70 kali ganda . Bulan puasa adalah bulan sabar ( sabar dalam berbuat taat kepadaNya ) , dan sabar itu adalah syurga balasannya . Bulan ini dilebihkan rezeki kepada hambaNya orang mukmin , diampunkan baginya dosa-dosa , barangsiapa memberi makan kepada orang yang berpuasa , pahalanya seperti memerdekakan hamba dan diampunkan dosanya .” Berkata sahabat : Bagaimana jika kami tidak sanggup memberi makan orang yang berpuasa ( berbuka puasa ) ya Rasulullah ? Nabi bersabda : “ Allah memberi pahala kepada orang yang memberi seteguk susu atau sebiji kurma , atau segelas air. Barangsiapa mengenyangkan orang berpuasa diampunkan Tuhan dosanya , Tuhan memberi minum daripada kolam Haudh sejenis minuman yang tiada dahaga-dahaga lagi kemudiannya , hingga masuk ia ke syurga dan pahalanya seperti pahala orang berpuasa .

( Al-Hadith )

9. Puasa menurut yang disuruh dan menjauhkan segala pantang larangnya, diampunkan dosanya dan bertasbih, bertahlil dibinakan rumah yang indah di dalam syurga .

10. Barangsiapa hadir ke dalam majli zikir pada bulan Ramadhan, ditulis pada tiap langkahnya ibadatnya setahun dan pada hari Qiamat bersamaku di bawah Arasy. Siapa tetap berjemaah dalam bulan puasa didirikan kota yang bercahaya indah cemerlangnya dan yang berbakti kepada ibu bapanya, Allah memandang rahmat kepadanya dan isterinya yang berbuat sesuatu mencari keredhaan suaminya maka pahala yang besar Allah kurniakan kepadanya seperti Siti Mariyam dan siapa menyampaikan hajat orang mukmin, Allah menunaikan seribu hajatnya dan siapa bersedekah kepada fakir miskin ( yang berada anak isterinya ) tiap langkah dikurniakan kepadanya seribu kebajikan, dihapuskan seribu kejahatan dan diangkatkan seribu darjat baginya . ( Al-Hadith )

11. Orang yang sembahyang pada bulan Ramadhan tiap sekali sujud, dikurniakan kepadanya seribu tujuh ratus kebajikan dan dibinakan rumah di dalam syurga daripada permata . Bagi orang yang berpuasa dan beribadat , tujuh puluh ribu Malaikat meminta ampun baginya daripada pagi hingga tenggelam matahari dan dibina sebuah mahligai baginya .

12. Pada hari Qiamat, Allah memerintah Malik Ridhwan supaya dikeluarkan orang-orang berpuasa daripada kuburnya dengan keadaan lapar dan dahaga, lalu disuruh Malik Ridhwan berikan segala keinginan mereka, dari segala macam makanan dan minuman syurga. Maka Malik Ridhwan memerintah kepada anak-anak membawa talam-talam makanan, minuman dan buah-buahan, sebagai balasan berlapar di bulan Ramadhan .

13. Orang mukmin yang tidur dalam bulan puasa kerana puasa Ramadhannya, dia berbalik badannya sambil menyebut nama Allah, maka berkata Malaikat kepadanya yang bermaksud ( Allah mencucuri rahmat kepada engkau ). Apabila dia berdiri maka berdoalah hamparannya :

“ Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadanya hamparan permaidani tebal kepadanya di dalam syurga .”

Apabila memakai pakaian , berdoalah pakaian :

“ Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadanya pakaian syurga .”

Apabila memakai kasut berdoalah kasut :

“ Wahai Tuhanku, tetaplah kakinya atas titian Siratalmustaqim .”

Apabila memegang timba, berdoalah timba :

“ Wahai Tuhanku , kurniakanlah kepadanya gelas syurga .”

Apabila mengambil air sembahyang, berdoalah :

“ Wahai Tuhanku, sucikannya daripada segala dosa dan kesalahan .”

Apabila berdiri sembahyang, berdoalah rumahnya :

“ Wahai Tuhanku, cahayakanlah kuburnya dan luaskanlah atau lapangkanlah kubur serta menilik Allah kepadanya, maksudnya : hambaKu berdoa dan Aku menerima !

( Al-Hadith )

14. Malaikat yang banyak muka sujud kepada Allah pada hari Qiamat, satu muka sujud, satu muka melihat syurga, satu muka melihat neraka, satu muka melihat Arasy lalu berkata Malaikat itu : “ Wahai Tuhanku, ampunilah umat Nabi Muhammad saw, kasihanilah mereka! Janganlah diseksa orang yang berpuasa Ramadhan dari umat Nabi Muhammad saw .

15. Ramadhan ertinya bulan mendapat keredhaan Allah dan keampunan Allah bererti memberi jaminan ( kerana ibadatnya pada bulan mulia dengan penuh taat ) mendapat syurga anugerah Allah bagi hambaNya yang benar-benar melakukan ibadat keranaNya pada bulan Ramadhan termulia ini dengan ganjaran pahala sehingga seribu kali ganda dan keampunan yang banyak sekali, teristimewa pada malam Lailatulqadar .

16. Bahawasanya di dalam syurga terdapat bilik-bilik dilihat dari luar nampak di dalamnya dan dilihat dari dalam kelihatan luarnya. Berkata sahabat : Untuk siapakah itu ya Rasulullah ? Lantas beliau menjawab : Ialah bagi orang yang baik percakapannya, bagi orang yang memberi makan makanan , bagi orang yang sentiasa berpuasa, bagi orang yang smbahyang di tengah malam sedang manusia dalam nyenyak tidur .

( Al-Hadith )
17. Semulia-mulia sedekah ialah sedekah pada bulan Ramadhan .
( Al-Hadith )

18. Puasa itu perisai dan sedekah itu memadamkan kesalahan dosa sepertimana air memadamkan api .

( Al-Hadith )

19. Siapa memberi makan ( berbuka puasa ) kepada orang puasa maka baginya seumpama balasan pahala orang berpuasa dengan tidak kurang sedikit pun .

( Al-Hadith )

20. Sabda Nabi saw :

“ Tiada daripada seorang hamba yang berpuasa Ramadhan, diam tiada berkata-kata yang sia-sia dan daripada yang haram dan makruh dan sentiasa menyebut Allah ( berzikir Allah ) , menghalalkan yang dihalalkan Allah , mengharamkan akan yang diharamkan Allah , tiada mengerjakan kejahatan , melainkan sehingga berakhir Ramadhan , telah diampunkan baginya segala dosanya dan tiap tasbih, tiap tahlil dibinakan sebuah rumah yang terindah di dalam syurga daripada permata zamrud, di dalamnya daripada yaqut merah indah, di dalam rangka permata itu (yaqut) terdapat sebuah khemah, di dalamnya terdapat bidadari ( Huurul’ain – isteri syurga ), terhias dengan permata bercahaya indah yang menerangkan bumi sekaliannya .”
( Al-Hadith )

21. Sabda Nabi saw :

“ Bahawasanya bagi Allah beberapa kejadianNya dijadikan mereka supaya menyampaikan segala hajat orang dan supaya orang meminta tolong kepadanya pada menyempurnakan segala hajat yang di perlukan. Mereka itulah orang yang aman daripada seksa Allah .”

( Rawahu Al-Thabrani- Al-Hadith )

22. Sabda Nabi saw :

“ Bahawa pintu langit dan pintu syurga dibuka pada awal Ramadhan hingga akhir malam Ramadhan. Tiap orang yang bersembahyang pada malamnya ditulis baginya tiap satu sujud, seribu tujuh ratus kebajikan, dibina rumah baginya tujuh puluh pintu daripada emas yang bertatah yaqut permata merah indah. Orang yang berpuasa pada awal Ramadhan diampunkan segala dosanya hingga ke akhir bulan Ramadhan, dibina baginya tiap-tiap hari sebuah mahligai di dalam syurga, mempunyai seribu daripada emas dan minta ampun baginya 70 ribu Malaikat dari pagi hingga tenggelam matahari .

( Al-Hadith )

23. Sabda Nabi saw :

“ Kelebihan hari jumaat pada bulan Ramadhan atas segala hari yang lain seperti kelebihan Ramadhan atas segala bulan.” ( Al-Hadith )

24. Barangsiapa yang mengerjakan ibadat pada bulan Ramadhan dengan keimannya dan ikhlasnya kerana Allah , maka diampunkan segala dosanya yang telah lalu .

25. Sabda Nabi saw :

“ Tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadat dan nafsunya itu adalah tasbih, doanya itu mustajab , dosanya diampunkan Allah dan amal ibadatnya dilipatgandakan .”

26. Apabila berakhir bulan Ramadhan , menangis wali-wali Allah kerana berpisahnya bulan yang paling mulia yang digandakan ibadat berlipatganda daripada bulan-bulan yang lainnya. Bulan Allah mudah menerima ampun taubat hamba-hambaNya, bulan yang banyak sekali diturunkan rahmat ke alam, bulan yang terdapat padanya malam Lailatulqadar, suatu rahmat dan rahsia yang dikurniakan kepada hamba-hambaNya yang solehin yang tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain . Mereka menangis kerana belum tentu akan dapat menemui bulan termulia ini pada tahun-tahun hadapan, kiranya dipanjangkan umur .

27. Apabila berakhir malam bulan Ramadhan, menangislah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi dan segala Malaikat, kerana berlalu Ramadhan berlalulah kelebihannya, sebab musibah bagi umatKu dan duduk segala Malaikat bagi musibah, orang bertanya : Ya Rasulullah saw, apa itu musibah ? Jawab Rasulullah saw kerana segala doa padanya itu mustajab, sedekah makbul, segala kebajikan digandakan dan seksa kubur terangkat , maka apakah musibah yang terlebih besar daripada ini bagi umatKu.

( Al-Hadith )

28. Malam Lailatulqadar adalah malam rahsia , yang turun padanya Malaikat Jibril dan beberapa Malaikat dengan perintah Allah . Orang yang berjaga dengan malam ibadatnya untuk mendapatkan malam Lailatulqadar yang penuh rahsia itu yang tiada diketahui oleh manusia, hanya orang-orang solehin yang muqarrabin, orang yang berusaha mendapatkan malam mulia itu dengan berjaga malam pada sepuluh malam Ramadhan yang terakhir maka diampunkan Tuhan segala dosa-dosanya. Diberi pahala dengan banyaknya, dirahmatkannya dengan penuh limpah kurnia dan orang-orang solehin yang dikurniakan Allah mendapat malam Lailatulqadar itu suatu keberuntungan kebahagiaan bagi akhirat , mendapat keampunan dan rahmat terbesar, mendapat pimpinan Allah dalam hayatnya, mendapat keredhaan Allah dalam hidupnya dunia dan akhirat .

29. Malam Aidilfitri, malam raya disunatkan kepada kita berjaga malam, beribadat, bertakbir “ Allahu Albar ” sepanjang malamnya, akan mendapat keampunan yang banyak , pahala yang besar, rahmat Allah tercurah kepadanya. Siapa yang menghidupkan dua malam raya ( Aidilfitri dan Aidiladha ) dengan ibadatnya dan takbirnya, tiada dimatikan hatinya pada hari yang dimatikan segala hati . ( Al-Hadith )


PUASA

1. Awam : hanya menahan lapar dan dahaga, menahan makan minum sahaja. Dia melakukan pantang larang puasa, melakukan yang makruh dan dosa-puasanya kosong, tidak bermakna, tidak mendapat perhatian Allah .

2. Khas : menahan segala larangan puasa dan yang makruh dalam puasa dengan penuh taat .

3. Khowasulkhowas :

· Menahan segala larangan puasa, segala dosa, segala yang makruh dalam puasa dan segala keinginan nafsu .
· Banyak mengerjakan amal ibadat siang dan malam, seperti sembahyang-sembahyang sunat,banyak beristighfar dan taubat, banyak bertasbih, banyak berselawat,banyak berzikir, berdoa dan membaca Al-Quran .

MALAIKAT, MANUSIA dan HAIWAN

Malaikat : diberi kepercayaan akal, tidak diberi nafsu .

Haiwan : diberi kepadanya nafsu, tidak diberi akal .

Manusia : diberi kepadanya akal dan nafsu .

Kalau akal manusia dapat mengalahkan (menundukkan) nafsunya, maka naiklah manusia ke darjat Malaikat, bahkan melebihi Malaikat jika dia kuat beramal ibadat kepada Allah. Tetapi jika dia tunduk kepada nafsunya, dikalahkan oleh nafsunya maka turunlah dia kepada darjah haiwan .

Awasilah kepada nafsu yang sentiasa didorongkan oleh syaitan. Nafsu adalah musuh yang jahat yang payah dikalahkan, sukar ditundukkan, kerana dia berada di dalam diri kita yang dikendalikan oleh syaitan. Payah mengawasinya dan susah mengatasinya, sentiasa mencabar keimanan kita .

Untuk Mengatasinya :

· Hendaklah melawan nafsu dari bertindak sewenang-wenangnya .
· Hendaklah memberati dengan beban ibadat yang banyak.
· Hendaklah memohon bantuan Allah , minta diselamatkan dari bahaya nafsu angkara jahanam yang mencabar .
· Mintaditeguhkan iman dan taqwa, supaya dapat melawan nafsu .

Apabila kamu berpuasa maka hendaklah berpuasa pendengaranmu, penglihatanmu, lidahmu daripada dusta dan dosa, dan tinggallah menyakiti khadam . Hendaklah kamu hormatinya dan bersikap tenang pada hari puasamu . Jangan kamu samakan hari puasa dengan hari tidak puasa .